UNHCR dan rakan NGO menyediakan perkhidmatan asas kepada orang pelarian rentan melalui pusat jangkauan di luar KL

UNHCR Malaysia News   © UNHCR Malaysia

Kuala Lumpur, 30 Julai 2020 - UNHCR, Agensi Pelarian PBB, hari ini mengumumkan inisiatif untuk memperkukuhkan perkhidmatan asas kepada komuniti orang pelarian rentan yang tinggal di luar ibu negara, melalui penubuhan pusat jangkauan komuniti di luar Kuala Lumpur.

Fasa perintis ini akan dimulakan dengan pembukaan pusat jangkauan di Johor pada hari Isnin, 3 Ogos 2020, dengan rancangan di masa hadapan untuk mengembangkan pusat jangkauan yang serupa ke bahagian lain di Malaysia, seperti di bahagian utara Malaysia. 

Pusat Jangkauan dan Komuniti Johor (Johor Outreach and Community Centre, JOCC) akan dikendalikan oleh rakan NGO UNHCR, Cahaya Surya Bakti, dengan kerjasama rapat UNHCR, dan akan memberikan perkhidmatan asas untuk lebih daripada 16,000 orang pelarian yang tinggal di bahagian selatan Malaysia.

"Terdapat kira-kira 180,000 orang pelarian di Malaysia yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Kebanyakan orang pelarian di Malaysia tinggal di kawasan Lembah Klang. Namun, beberapa ribu orang pelarian tinggal di luar kawasan ini dan perlu menempuh jarak yang jauh untuk mengunjungi UNHCR bagi mendapatkan perkhidmatan, ” kata Thomas Albrecht, Wakil UNHCR.

"Ini telah menimbulkan banyak cabaran dan perbelanjaan bagi orang pelarian dari negeri lain yang harus menempuh jarak yang jauh untuk urusan rutin seperti pembaharuan kad UNHCR sebelum tarikh luput kad."

Dengan pembukaan pusat jangkauan komuniti di luar Kuala Lumpur, orang pelarian yang rentan tidak perlu lagi melakukan perjalanan ratusan kilometer untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas.

"Ini masa yang tepat memandangkan pandemik COVID-19 sedang menular, dan ia adalah sangat penting untuk mengurangkan pergerakan individu dan untuk mengelakkan orang ramai berkumpul," kata Thomas Albrecht.

Pada peringkat awal ini, JOCC akan mengutamakan pembaharuan kad UNHCR untuk orang pelarian yang rentan, termasuk wanita dan kanak-kanak, orang kurang upaya, orang tua, dan orang yang mempunyai keperluan rawatan perubatan; memberikan maklumat penting dan tepat berkaitan dengan perlindungan, dan memberi kaunseling mengenai perkhidmatan yang disediakan untuk orang pelarian. UNHCR merancang untuk menambah jenis perkhidmatan yang disediakan di pusat tersebut pada masa hadapan.

"UNHCR berasa senang hati kerana dapat meneruskan hubungan kerja kami dengan rakan NGO, Cahaya Surya Bakti, yang selama bertahun-tahun telah memberikan sokongan dan perkhidmatan pendidikan untuk orang pelarian di Johor," kata Thomas Albrecht.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat logistik global terkemuka dan rakan korporat global UNHCR, Agility atas sokongan dana untuk inisiatif ini. Ia bukan saja akan menyampaikan perkhidmatan penting untuk orang pelarian yang rentan, tetapi juga memperkukuhkan kapasiti rakan-rakan NGO kami."